Site Network: exco | PKPIM | personal | Circle group

 

  ANTARA PENCACAI MUDA ATAU AKTIVIS, ANTARA PENDIBISURIS ATAU INTELEKTUALIS?


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

Dengan Buku di tangan kau nyayikan lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah teluk gong

Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan Berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas

Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka

Usman Awang 1967


Dalam bait-bait puisi Usman Awang ini jelas memperlihatkan betapa besar sanjungan kepada mereka yang berada di menara gading itu, bukan sahaja kerana kekuatan buku atau keilmuan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa, malah mereka juga disanjungi kerana komitmen dan iltizam besar mereka di dalam membela dan agenda perubahan, al-Islah wa Tajdid di dalam masyarakat.

Inilah gelombang kekuatan aktivisme yang dikurniakan Allah swt, untuk menjadi penyumbang kepada masyarakat. Aktivisma ini merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan satu proses yang bersandarkan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak yang negatif. Melalui aktivisme inilah lahirnya gerakan yang berintikan semangat perjuangan dan pengorbanan serta nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi dikalangan mahasiswa abad 21.

Bertunjungkan konteks ini, sekali gus menolak sikap Mahasiswa yang hanya mengambil pendekatan berpeluk tubuh, hanya melihat tanpa berusaha untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat dan daripada itu aktivisme juga adalah merupakan pra-syarat bagi mencapai kejayaan. Sejarah sendiri telah banyak membuktikan kekuatan aktivisme mahasiswa ini telah membuatkan pelbagai dampak positif yang membuahkan kejayaan.

Mengambil salah satu rentetan sejarah gerakan mahasiswa pimpinan Jose Antonio Echeverria di Cuba pada tahun 50-an. Gerakan mahasiswa ini telah menjadi check and balance yang berkesan ke atas kerajaan pimpinan rejim tentera Jeneral Fulgencio Batista yang dianggap rejim kuku besi yang banyak menindas rakyat dan memperkosa sistem keadilan Cuba. Setelah Cuba digantikan dengan Fedel Castro, Presiden Cuba itu tidak teragak-agak untuk melantik sebilangan pemimpin mahasiswa yang rata-ratanya merupakan pelajar di Universiti Havana bagi menganggotai kabinetnya.

Gerakan Mahasiswa terbesar dalam sejarah dunia moden, gerakan mahasiswa China dari Universiti Peking dan Universiti Beijing terutamanya, menuntut pendemokrasian, keterbukaan dan kebebasan negara China. Meraka mahu bebas menuntut ilmu, skop bacaan teks ilmiah yang luas tanpa sekatan dan beberapa perkara lain yang menjadi tuntutan mereka secara khusus. Gerakan yang mengundang ribuan mahasiswa untuk berhimpun di dataran Tiananmen, bagi menuntut hak mereka, namun kemuncaknya pada 14 Mei 1989, lebih dari 2000 mahasiswa mati di tembak. Nama mahasiswa muda, yang menggegar dunia termasuklah, Chai Ling, Wang Dan, Weur Quiaxe dan ‘unknown’.

Dalam konteks sejarah mahasiswa, pengamatan saya melihat tidak ada gerakan mahasiswa yang turun ke masyarakat secara massa lebih hebat daripada apa yang berlaku pada tahun 1971. Satu Satu gerakan yang berbentuk massa untuk turun ke masyarakat yang dianjurkan secara bersama oleh PKPIM, PBMUM, dan PMIUM dengan mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Gerakan yang dinamakan “Gerakan Kempen Kesedaran” yang bermotifkan pembangunan masyarakat desa supaya dapat menikmati projek-projek pembangunan negara dan dalam masa yang sama menyampaikan dakwah Islamiyyah serta menekankan keperluan perubahan sikap umat Islam sesuai dengan tuntutan masa.

Namun demikian, melihat kepada senario semasa, mahasiswa turut giat menjalankan program yang bersifat kemasyaratan, walaupun kebanyakkan program adalah banyak berlegar disekitar mahasiswa, inter-universiti, inter-mahallah, inter collage dll. Tetapi permasalahan besar program yang berbentuk kemasyarakatn ini adalah mahasiswa tidak lagi membawa misi-misa yang besar dan jelas, lebih banyak kepada ‘program oriented’ bukan lagi ‘mission oriented’. Kadang-kadang masuk ke kampung bukan meringankan lagi orang kampung tetapi membenankan lagi.

Pada hemat saya factor besar perkara ini berlaku adalah kerana aktivitisme masyarakat tidak ditunjangi dengan kekuatan intelektualisme. Intelektualisme bukan hanya memberikan konotasi kepada kehebatan dan kecermerlangan kepada perolehan markah tinggi dalam peperiksaan. Selain daripada itu, intelektualisme juga adalah merupakan satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang mampu merangsang pemikiran analitikal dan kritis hingga berupaya untuk mewujudkan satu idea-idea baru yang praktikal bagi pembaikan diri dan masyarakat.

Seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Allan Bloom dalam “The Closing of American Mind” apabila menjawab permasalahan generasi muda di Amerika, beliau meletakkan kerunsingan kepada kurangnya minat golongan muda di Amerika Syarikat terhadap budaya membaca yang menjadi kunci kepada kekuatan budaya ilmu.

Pernah satu ketika kajian umum ahli akedemik dari universiti tempatan dibawah pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia (UPM), menunjukkan hanya 0.028 peratus atau 28 daripada setiap seratus ribu orang menjadi mana-mana perpustakaan, walaupun sebenarnya 74 peratus daripada rakyat Negara ini sudah boleh membaca. Hasil kajian beliau, 27 peratus tidak mempunyai buku di rumah, 30 peratus tidak memiliki majalah dan 10 peratus tidak memiliki surat khabar dalam tempoh 6 bulan. Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat dalam setahun dan hakikat itu menggambarkan betapa masyarakat kita sebenarnya tidak berminat untuk membaca. Walaupun Kajian yang dilakukan agak lama, tapi ianya sedikit sebanyak memberikan gambaran sikap masyarakat Malaysia kepada budaya ilmu.

Rentetan daripada itu kita pastinya tidak mampu untuk membina mahasiswa abad -21 yang berdaya saing dan dimanik untuk menghadapi cabaran semasa. Mahasiswa yang bergelumang dengan dunia akedemik pastinya meletakkan ilmu sebagai tunjang di dalam melaksanankan segala tindak tanduk.

Pendefinisian yang menarik yang telah diberikan oleh Soe Hok Gie, mahasiswa yang berlibat di dalam menggerakkan gerakan massa di dalam menyatakan tidak kepada kuroptor dan sang penindas Indonesia: Dalam catatan harian beliau, Catatan Seorang Demonstran melihat intelektual sebagai perhubungan ilmu yang mendorong kepada elemen-elemen kritikal segala lapisan masyarakat yang menindas dan melawan mengatasinya. Mengambil sikap diam atau berpeluk tubuh kepada pembobrokan dan ketidakadilan yang berlaku di dalam masyarakat bukanlah sikap bagi meraka yang bergelar Intelektual.

Secara tuntas daripada dua cabang besar untuk membina mahasiswa abad 21, aspek intelektual dan aktivisme adalah aspek yang perlu berjalan seiring. Ilmu yang ditimba segenung manapun, jika tidak diterjermahkan tidak ada makna, aktivisme tunjangan Ilmu maka kita menjadi pengikut buta tuli yang setiap. Hanya ‘SS’ (Syok Sendiri) di dalam agenda yang dilaksana tanpa punya substensi yang bermanfaat kepada masyarakat. Atau lebih malang, kita hanya akan menjadi pencacai muda yang hanya ikut apa yang disuruh oleh orang yang berkepentingan.

Apa selepas ini?

Mahasiswa perlu sedar bahawa di atas bahu mahasiswa punya amanah dan peranan yang besar di dalam membina masyarakat. Mahasiswa perlu kembali relevan di lubuk hati petani dan penduduk, dengan menjawab persoalan mereka dan bertindak dengan agenda yang lebih objektif.

Mahasiswa pendokong tradisi intelektual, tradisi ilmu. Tidak ada istilah buta tuli atau pak turut di minda mahasiswa. Pasti tidak ada ungkapan dari seorang MPP di dalam menjawap persoalan harga minyak, ‘kita serahkan sahaja kepada menteri, kita ikut saja lah!Tugas kita hanya untuk belajar’. Ini bukan sikap yang sihat di dalam golongan terpelajar yang seharusnya kritikal dan rational dalam segala aspek. Jangan jadi seperti pendibisuris, pendeta yang cerdik pandai tetapi bisu dan kelu apabila menyatakan kebenaran.

Terakhir adalah gesaan kepada cintakan buku dan ilmu. Kerana inilah aspek yang akan mengangkat darjat kita dan membezakan kita dengan yang lain seperti mana yang telah difirman oleh Allah swt.

Bergelar mahasiswa bererti manusia yang boleh tidur di tilam empuk,
berjalan atas tikar merah,
mampu berbicara/ berbahas dengan bapak menteri
sebagai seorang intelektualis muda bukan pencacai muda.

Bergelar mahasiswa juga bererti kita mampu makan di tikar mengkuang,
Duduk perdamping dengan pesawah atau petani,
Membantu menyelesaikan masalah mereka,
Sebagai Aktivis, bukan Pendibisuris!
Yang bijak tetapi bisu dalam menyatakan kebenaran

Di belakang kita api,
Di depan kita duri,
Namun, kita sudah tidak bisa berundur lagi,
Perkukuhkan tekad, perteguhkan azam
Perjuangan mengangkat yang hak
Menidakkan yang batil.

21 Julai 2006
4.30 Pagi

di pos oleh <$BlogItemAuthorNickname$> pada 7:40 AM,

0 pendapat:

Post a Comment

<< utama