Site Network: exco | PKPIM | personal | Circle group

 

  ANTARA PENCACAI MUDA ATAU AKTIVIS, ANTARA PENDIBISURIS ATAU INTELEKTUALIS?


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

Dengan Buku di tangan kau nyayikan lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah teluk gong

Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan Berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas

Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka

Usman Awang 1967


Dalam bait-bait puisi Usman Awang ini jelas memperlihatkan betapa besar sanjungan kepada mereka yang berada di menara gading itu, bukan sahaja kerana kekuatan buku atau keilmuan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa, malah mereka juga disanjungi kerana komitmen dan iltizam besar mereka di dalam membela dan agenda perubahan, al-Islah wa Tajdid di dalam masyarakat.

Inilah gelombang kekuatan aktivisme yang dikurniakan Allah swt, untuk menjadi penyumbang kepada masyarakat. Aktivisma ini merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan satu proses yang bersandarkan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak yang negatif. Melalui aktivisme inilah lahirnya gerakan yang berintikan semangat perjuangan dan pengorbanan serta nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi dikalangan mahasiswa abad 21.

Bertunjungkan konteks ini, sekali gus menolak sikap Mahasiswa yang hanya mengambil pendekatan berpeluk tubuh, hanya melihat tanpa berusaha untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat dan daripada itu aktivisme juga adalah merupakan pra-syarat bagi mencapai kejayaan. Sejarah sendiri telah banyak membuktikan kekuatan aktivisme mahasiswa ini telah membuatkan pelbagai dampak positif yang membuahkan kejayaan.

Mengambil salah satu rentetan sejarah gerakan mahasiswa pimpinan Jose Antonio Echeverria di Cuba pada tahun 50-an. Gerakan mahasiswa ini telah menjadi check and balance yang berkesan ke atas kerajaan pimpinan rejim tentera Jeneral Fulgencio Batista yang dianggap rejim kuku besi yang banyak menindas rakyat dan memperkosa sistem keadilan Cuba. Setelah Cuba digantikan dengan Fedel Castro, Presiden Cuba itu tidak teragak-agak untuk melantik sebilangan pemimpin mahasiswa yang rata-ratanya merupakan pelajar di Universiti Havana bagi menganggotai kabinetnya.

Gerakan Mahasiswa terbesar dalam sejarah dunia moden, gerakan mahasiswa China dari Universiti Peking dan Universiti Beijing terutamanya, menuntut pendemokrasian, keterbukaan dan kebebasan negara China. Meraka mahu bebas menuntut ilmu, skop bacaan teks ilmiah yang luas tanpa sekatan dan beberapa perkara lain yang menjadi tuntutan mereka secara khusus. Gerakan yang mengundang ribuan mahasiswa untuk berhimpun di dataran Tiananmen, bagi menuntut hak mereka, namun kemuncaknya pada 14 Mei 1989, lebih dari 2000 mahasiswa mati di tembak. Nama mahasiswa muda, yang menggegar dunia termasuklah, Chai Ling, Wang Dan, Weur Quiaxe dan ‘unknown’.

Dalam konteks sejarah mahasiswa, pengamatan saya melihat tidak ada gerakan mahasiswa yang turun ke masyarakat secara massa lebih hebat daripada apa yang berlaku pada tahun 1971. Satu Satu gerakan yang berbentuk massa untuk turun ke masyarakat yang dianjurkan secara bersama oleh PKPIM, PBMUM, dan PMIUM dengan mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Gerakan yang dinamakan “Gerakan Kempen Kesedaran” yang bermotifkan pembangunan masyarakat desa supaya dapat menikmati projek-projek pembangunan negara dan dalam masa yang sama menyampaikan dakwah Islamiyyah serta menekankan keperluan perubahan sikap umat Islam sesuai dengan tuntutan masa.

Namun demikian, melihat kepada senario semasa, mahasiswa turut giat menjalankan program yang bersifat kemasyaratan, walaupun kebanyakkan program adalah banyak berlegar disekitar mahasiswa, inter-universiti, inter-mahallah, inter collage dll. Tetapi permasalahan besar program yang berbentuk kemasyarakatn ini adalah mahasiswa tidak lagi membawa misi-misa yang besar dan jelas, lebih banyak kepada ‘program oriented’ bukan lagi ‘mission oriented’. Kadang-kadang masuk ke kampung bukan meringankan lagi orang kampung tetapi membenankan lagi.

Pada hemat saya factor besar perkara ini berlaku adalah kerana aktivitisme masyarakat tidak ditunjangi dengan kekuatan intelektualisme. Intelektualisme bukan hanya memberikan konotasi kepada kehebatan dan kecermerlangan kepada perolehan markah tinggi dalam peperiksaan. Selain daripada itu, intelektualisme juga adalah merupakan satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang mampu merangsang pemikiran analitikal dan kritis hingga berupaya untuk mewujudkan satu idea-idea baru yang praktikal bagi pembaikan diri dan masyarakat.

Seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Allan Bloom dalam “The Closing of American Mind” apabila menjawab permasalahan generasi muda di Amerika, beliau meletakkan kerunsingan kepada kurangnya minat golongan muda di Amerika Syarikat terhadap budaya membaca yang menjadi kunci kepada kekuatan budaya ilmu.

Pernah satu ketika kajian umum ahli akedemik dari universiti tempatan dibawah pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia (UPM), menunjukkan hanya 0.028 peratus atau 28 daripada setiap seratus ribu orang menjadi mana-mana perpustakaan, walaupun sebenarnya 74 peratus daripada rakyat Negara ini sudah boleh membaca. Hasil kajian beliau, 27 peratus tidak mempunyai buku di rumah, 30 peratus tidak memiliki majalah dan 10 peratus tidak memiliki surat khabar dalam tempoh 6 bulan. Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat dalam setahun dan hakikat itu menggambarkan betapa masyarakat kita sebenarnya tidak berminat untuk membaca. Walaupun Kajian yang dilakukan agak lama, tapi ianya sedikit sebanyak memberikan gambaran sikap masyarakat Malaysia kepada budaya ilmu.

Rentetan daripada itu kita pastinya tidak mampu untuk membina mahasiswa abad -21 yang berdaya saing dan dimanik untuk menghadapi cabaran semasa. Mahasiswa yang bergelumang dengan dunia akedemik pastinya meletakkan ilmu sebagai tunjang di dalam melaksanankan segala tindak tanduk.

Pendefinisian yang menarik yang telah diberikan oleh Soe Hok Gie, mahasiswa yang berlibat di dalam menggerakkan gerakan massa di dalam menyatakan tidak kepada kuroptor dan sang penindas Indonesia: Dalam catatan harian beliau, Catatan Seorang Demonstran melihat intelektual sebagai perhubungan ilmu yang mendorong kepada elemen-elemen kritikal segala lapisan masyarakat yang menindas dan melawan mengatasinya. Mengambil sikap diam atau berpeluk tubuh kepada pembobrokan dan ketidakadilan yang berlaku di dalam masyarakat bukanlah sikap bagi meraka yang bergelar Intelektual.

Secara tuntas daripada dua cabang besar untuk membina mahasiswa abad 21, aspek intelektual dan aktivisme adalah aspek yang perlu berjalan seiring. Ilmu yang ditimba segenung manapun, jika tidak diterjermahkan tidak ada makna, aktivisme tunjangan Ilmu maka kita menjadi pengikut buta tuli yang setiap. Hanya ‘SS’ (Syok Sendiri) di dalam agenda yang dilaksana tanpa punya substensi yang bermanfaat kepada masyarakat. Atau lebih malang, kita hanya akan menjadi pencacai muda yang hanya ikut apa yang disuruh oleh orang yang berkepentingan.

Apa selepas ini?

Mahasiswa perlu sedar bahawa di atas bahu mahasiswa punya amanah dan peranan yang besar di dalam membina masyarakat. Mahasiswa perlu kembali relevan di lubuk hati petani dan penduduk, dengan menjawab persoalan mereka dan bertindak dengan agenda yang lebih objektif.

Mahasiswa pendokong tradisi intelektual, tradisi ilmu. Tidak ada istilah buta tuli atau pak turut di minda mahasiswa. Pasti tidak ada ungkapan dari seorang MPP di dalam menjawap persoalan harga minyak, ‘kita serahkan sahaja kepada menteri, kita ikut saja lah!Tugas kita hanya untuk belajar’. Ini bukan sikap yang sihat di dalam golongan terpelajar yang seharusnya kritikal dan rational dalam segala aspek. Jangan jadi seperti pendibisuris, pendeta yang cerdik pandai tetapi bisu dan kelu apabila menyatakan kebenaran.

Terakhir adalah gesaan kepada cintakan buku dan ilmu. Kerana inilah aspek yang akan mengangkat darjat kita dan membezakan kita dengan yang lain seperti mana yang telah difirman oleh Allah swt.

Bergelar mahasiswa bererti manusia yang boleh tidur di tilam empuk,
berjalan atas tikar merah,
mampu berbicara/ berbahas dengan bapak menteri
sebagai seorang intelektualis muda bukan pencacai muda.

Bergelar mahasiswa juga bererti kita mampu makan di tikar mengkuang,
Duduk perdamping dengan pesawah atau petani,
Membantu menyelesaikan masalah mereka,
Sebagai Aktivis, bukan Pendibisuris!
Yang bijak tetapi bisu dalam menyatakan kebenaran

Di belakang kita api,
Di depan kita duri,
Namun, kita sudah tidak bisa berundur lagi,
Perkukuhkan tekad, perteguhkan azam
Perjuangan mengangkat yang hak
Menidakkan yang batil.

21 Julai 2006
4.30 Pagi

di pos oleh <$BlogItemAuthorNickname$> pada 7:40 AM, ,



  AUKU DAN IMPLIKASI BESAR KEPADA MAHASISWA


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
Naib Presiden Antarabangsa

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan beliau kepada media pada 28 Januari 2006 telah menyatakan pendirian selaku pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 (AUKU) terus dikekalkan tanpa memansuhkannya. Beliau menyatakan pendirian tersebut selepas sekumpulan mahasiswa yang mendesak agar AUKU ini perlu dihapuskan dan termasuk PKPIM yang mewakili pelajar Islam seluruh Malaysia secara langsung bersuara dalam menyatakan pendirian kepada AUKU.

AUKU yang mengandungi lima bahagian dan 27 seksyen memperuntukkan pelbagai pasal berhubung universiti dan kolej Universiti. AUKU juga memperuntukkan pelbagai bidang kuasa termasuk srtuktur organisasi Universiti dan Kolej universiti, etika dan disiplin pelajar serta beberapa lagi perkara yang dilihat penting di dalam memastikan perjalanan universiti terus licin dan sejajar dengan matlamat panubuhan universiti.

Melalui kuasa yang diperuntukkan di dalam AUKU, sejak tahun 2000 hingga Disember tahun lalu, terdapat lebih 1700 pelajar dilaporkan melanggar AUKU dengan disabitkan kes meniru sewaktu peperiksaan, menipu, khalwat, berdemonstrasi dan mencuri. AUKU juga yang digubal pada tahun 1971 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1975 dan 1983 bagi memastikan AUKU terus relevan mengikut keperluan semasa.

Di dalam AUKU terdapat beberapa seksyen yang jelas mengekang dan menyekat mahasiswa malahan universiti. Antara Seksyen tesebut termasuklah seksyen 15 dan 16. Di dalam seksyen 15 (1) menyatakan bahawa tiada siapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli atau dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau kumpulan.

Di dalam konteks semasa, peruntukkan kuasa seksyen ini telah tidak begitu relevan di saat Malaysia yang tumbuh dengan pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan belia. Setiap NGO dan persatuan belia ini pastinya memerlukan tenaga muda terutama pada mahasiswa, kerana mahasiswa tidak pada punya daya pada tenaga, tetapi kepada pengupaayaan intetelek untuk menggerakkan persatuan dan masyarakat.

Di dalam isu yang lebih terkini, kerajaan di bawah usaha kementerian belia dan sukan yang merangka Akta Belia 2005 dan akan dibentangkan di parlimen tidak lama lagi. Akta Belia 2005 secara khusus telah memperuntukkan pelajar terlibat secara langsung di dalam pertubuhan berdaftar terutama persatuan belia. Akta ini secara jelas telah bercanggah dengan AUKU seksyen 15(1).

Seksyen 15(3) pula menyatakan tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar Universiti boleh menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau pertubuhan atau kumpulan haram.

Seksyen 15 (5) memperuntukkan kepada sesiapa yang melanggar peruntukkan seksyen kecil (1), (2), (3) atau (4) adalah bersalah atas kesalahan dan boleh disabitkan, dikenakan denda tidak lebih seribu ringgit atau penjara selama tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 16 dan beberapa seksyen yang lain boleh dikritik dengan memberikan datu bidang kuasa yang luas kepasa Naib Cancelor dan Menteri sehingga dirasakan boleh berlaku kemungkinan penyalahgunaan kuasa. Di dalam seksyen 16 umpamanya, kuasa Naib cancelor menggantung atau membubarkan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar.

Di dalam aspek sejarah, AUKU digubal sepertimana yang diungkap oleh Muhammad Abu Bakar di dalam buku yang ulung membicarakan perjuangan mahasiswa: Mahasiswa Menggugat (1975), menyatakan bahawa AUKU adalah merupakan satu konotasi kesan daripada kelantangan dan keterlibatan pelajar secara langsung dengan isu-isu kenegaraan yang sememangnya menggentarkan pihak pemerintah. Malah kecenderungan pelajar menyokong pihak pembangkang terutamanya pada pilihanraya 1969 benar-benar menggusarkan kerajaan yang akhirnya melahirkan AUKU.

Dalam hal ini Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia pernah menjelaskan dalam satu forum yang bertajuk “Masyarakat Kampus Dan Permasalahannya” pada 4 Ogos 1990, “Perlaksanaan Akta ini merupakan parut hitam d dalam sejarah kebebasan akademik di Malaysia. Semenjak itu, ternampaklah bibit-bibit kelumpuhan buday auniversiti yang sebelum ini mempunyai semacam solidariti dalam aktiviti-aktivitit mahasiswa.”

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, sabelum AUKU, penglibatan pelajar dan mahasiswa dalam arena politik negara agak meluas. Pemimpin-pemimpin pelajar dengan berani dan lantang mengkritik kelemahan dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di atas pentas umum, kenyataan akhbar mahupun melalui manifesto di dalam pilihanraya-pilihanraya umum.

Sejak AUKU dikuatkuasakan kehidupan mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi dikawal secara khusus oleh Kaedah Tatatertib Pelajar (1975). Pelbagai bahagian di dalam akta ini yang secara langsung mengongkong kebebasan pelajar yang selama ini dikecap oleh mereka. Malah penyertaan pelajar dengan poltik, aktiviti-aktiviti luar kampus dan persatuan luar turut dibataskan.

Persoalan pokok yang ingin dilontarkan adalah kesan AUKU selepas hampir empat dekat perlaksanaannya. Di dalam makalah ini telah digariskan beberapa kesan langsung akibat penguatkuasaan AUKU ke atas pelajar dan gerakan mahasiswa umumnya. Antaranya :

Nilai-nilai individualistik dan materialistik samakin merata dan menebal di kalangan pelajar. Rata-rata bertanggapan universiti tidak labih daripada menara gading buat mendapat segulung ijazah dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik semata-mata. Malah semakin terhakis nilai-nilai untuk memikirkan apa yang berlaku kepada masyarakat luar apatah lagi untuk menilai perkembangan politik semasa yang boleh mempengaruhi masa depan dan nasib bangsa.

Budaya takut atau ‘culture of fear’ mula mencengkam masyarakat pelajar. Masing-masing memikirkan masa depan dan nasib sekiranya mereka malanggar AUKU. Budaya ini akhirnya menyebabkan mahasiswa terus takut untuk mencuba, menyoal, mengkritik dan mengemukakan idea serta gagasan baru ke dalam masyarakat. Ini ditambah dengan ancaman pelbagai undang-undang di luar kampus yang seakan sama sifatnya dengan AUKU telah digubal atau dipinda oleh pemerintah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan. Tekanan dan prejudis pihak pentadbir kepada pelajar yang agak kritikal turut meransang perasaan takut di kalangan mahasiswa.
Tidak ada lagi slogan ‘Mahasiswa Jurubicara Masyarakat’ kerana mereka sudah tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka atau hilang upaya untuk melakukan sesuatu. Masyarakat lebih yakin kepada kumpulan lain seperti parti politik untuk menyelesaikan masalah mereka.

Penumpuan kegiatan pelajar hanya sekitar kampus sahaja. Pelajar-pelajar hanya berminat menyertai program-program bersifat rekreasi, sukan dan bersifat hedonistik. Hanya segelintir kecil yang masih bersemangat untuk mengikuti program-program pembangunan intelektual yang membincangkan isu-isu semasa mahupun berbentuk ilmiah.

Pelajar mula hilang minat untuk menghayati dan menganalisa keadaan politik tempatan mahupun antarabangsa jauh sekali untuk melibatkan diri secara aktif.

Pelajar mula disibukkan dengan politik kampus yang secara tidak langsung mendatangkan kesan negatif terhadap perpaduan pelajar. Seringkali pelajar akan terjebak dengan semangat kepuakan yang masing-masing cuba mengangkat darjat puak mereka pada masa yang sama memperlekeh puak yang lain. Di mana-mana sahaja apabila menjelangnya pilihanraya, akan wujud dua kelompok besar yang saling berlawanan antara satu sama lain. Malah ketegangan tetap berterusan di luar musim pilihanraya kerana setiap kelompok akan berebut-rebut mencari ahli bagi terus menyokong dasar perjuangan masing-masing.

Polarisasi kaum di kalangan pelajar juga semakin ketara. Penubuhan persatuan pelajar mengikut kaum turut meransang polarisasi tersebut. Hampir semua universiti di Malaysia mempunyai persatuan yang mewakili kaum masing-masing sama ada berbentuk bahasa atau persatuan kebudayaan. Ini menjarakkan lagi proses interaksi antara pelajar kerana biasanya kegiatan pelajar yang dijalankan lebih mengutamakan kepentingan, minat dan kecenderungan anggota kumpulan etnik tertentu.

Di sini jelas kapada kita AUKU bukan sahaja telah menyebabkan wujudnya budaya baru dalam masyarakat pelajar tetapi yang labih parah lagi apabila lahirnya polarisasi yang agak ketara di kalangan pelajar. Pelbagai pertubuhan pelajar baru lahir dan saling mengadu-domba dan memperlekehkan antara satu sama lain.

Apa yang pasti pengongkongan dan tekanan dari AUKU ini telah memaksa golongan pelajar untuk menumpukan perhatian mereka kepada isu dalaman yang kurang penting yang terdapat di kampus daripada melihat isu umat yang lebih besar dan penting di luar kepompong mereka. Inilah yang akhirnya menyebabkan kecenderungan untuk mereka bercakaran sama sendiri dan memikirkan isu-isu ranting lebih parah.

Juteru, secara tuntas sebelum menoktahkan kalam ini adalah setelah hampir 23 tahun sejak kali terakhir dipinda pada tahun 1983, mahasiswa dan masyarakat melihat adalah wajar untuk pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak yang terbabit untuk meneliti kembali AUKU. Ingin ditegaskan juga kepada beberapa prinsip yang harus diambil terhadap AUKU iaitu aspek keadilan dan kebebasan dalam erti kata tidak ada suatu peraturan dan tindakan pun yang diambil atas maksud untuk menyekat dan menghalang seseorang pelajar atau pertubuhan pelajar untuk menyatakan dan memperjuangkan kebenaran. Disyorkan juga agar diberikan penekanan terhadap nilai-nilai akhlak dan etika serta bidang kuasa yang wajar kepada Naib Cancelor dan Menteri di dalam mentadbir universi dan mahasiswa.









di pos oleh <$BlogItemAuthorNickname$> pada 7:23 AM, ,



  RESPON ISLAM KEPADA BARAT

*Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

Dalam tulisan saya yang lepas (Majalah I, Oktober 2006) membincangkan susur galur sejarah gerakan tajdid dan diakhirnya saya menyatakan kerisauan kepada ‘trend’ gerakan Islam pada hari ini yang dominannya adalah dari aliran yang disifatkan melampau dan berlebih-lebihan. Dalam fenomena inilah al-Qardawi meletakkan dua kelompok yang digelar sebagai al-Ghulub Tafarraqu fi Deen, kelompok yang melampau dalam agama dan kelompak pelonggar agama Tasahul fi Deen.

Dalam memahami senario ini, kita dapat melihat perbedaan yang ketara terutama dalam konteks sudut pandang Islam kepada dunia ‘Islamic World View’ atau lebih khusus lagi respon Islam kepada barat.

Sejak dari kurun ke-18 senario gerakan Islah dan Tajdid telah berubah daripada gerakan yang bersifat dalaman dunia Islam kepada gerakan yang menjawab permasalahan cabaran ‘challenge and response’, yang berlaku kepada dunia Islam dan barat. Dunia Islam ketika ini menghadapi cabaran dan bertembungan yang teruk kepada Pembaratan ‘Westernization’ dan kerakusan barat kepada penjajahan ‘Imperialisme’. Dalam peringkat ini, Gerakan Islah dan tajdid diperakui memberikan dampak yang besar di dalam menjawab persoalan bagaimana Islam harus berhadapan dan respon kepada barat?

Namun demikian, pada tahap ini dunia Islam mengalami ketidakupayaan sehingga diistilahkan sebagai ‘colonizable’ atau kelemehan umat Islam yang akhirnya membuatkan kita sendiri mampu untuk dijajah seperti yang diistilahkan Malik Bennabi. Dunia Islam berhadapan dengan barat dalam keadaan yang amat lemah. Malah ada sesetengah mendakwa ini adalah waktu zaman gelap Islam.

Proses pembaratan ‘Westernization’ dapat dilihat melalui beberapa inflitrasi atau pendekatan iaitu melalui teknologi, terutama teknologi dalam ketenteraan, sains, percetakkan dan media. Kedua adalah inflitrasi melalui budaya yang barat cuba canangkan kepada dunia Islam bahawa budaya baratlah sebagai budaya yang mampu mengangkat martabat bangsa dunia Islam, akibatnya berlaku masalah keyakinan yang teruk kepada sistem Islam. Kesan ini dapat dilihat kepada Mesir pada ketika itu malah sehingga ke hari ini. Yang ketiga adalah penjajahan ketenteraan yang dilakukan kepada dunia Islam. Dunia Islam dibahagi-bahagikan sesedap rasa dan pada ketika ini membuahkan bibit awal kepada kejatuhan sistem khilafah Islam dan kewujudan nasionalisme negara bangsa. Antara yang terkenal Libya diberi kepada Itali, Mesir dan tebing barat kepada British dan beberapa kawasan lain kepada Perancis.

Di dalam melihat persoalan bagaimana Islam respon atau mengambil sikap terhadap barat, terdapat baberapa orientasi pendekatan yang diberikan. Pertama adalah ‘trend’ orientasi barat. ‘Trend’ ini dilihat pro kepada barat yang melihat sistem barat dan segala yang lahir dari barat adalah yang terbaik. Kelompok ini berpandangan bahawa ianya adalah reality bahawa Dunia Islam hanya boleh menyelesaikan masalah melalui kerjasama dengan barat dengan pendekatan orientasi sekular barat.

Melalui pendekatan dan sudut pandang dunia yang begini ramai ahli politik dunia Islam telah bertindak untuk berkerjasama dan menjalinkan hubungan dengan barat. Contoh yang terbaik seperti mana yang telah saya maklumkan adalah mesir sendiri dibawah pemerintahan Muhammad Ali Bashar dan kaum kerabatnya sejak dari 1805-1952. Muhammad Ali Bashar serta keluarganya yang memerintah mesir dengan penuh korupsi idea barat. Termasuklah cucunya yang memerintah mesir Khadive Ismail dari 1863-1879.

Pembaratan Westenisasi yang berlaku bukan sahaja dalam sektor politik melalui sistem sekular malah dalam bidang pendidikan juga dibaratkan secara rakus Mereka menjadi lebih barat daripada barat sendiri. Beliau telah menghantar seorang pemikir mesir Rifa’ Rafi’ at-Tantawi ke Paris untuk belajar di sana dan melakukan gagasan pembaratan. Beliau juga menulis buku ‘Westenised Eagyp’. Begitu juga Khairuddin al-Tunisi dengan tulisan besar beliau, al-Ihwal al-Mahaliq, Ali abdul Raziq dengan buku kontroversi, Islam wa Usul al-hukm, begitu juga pemikir Taha Hussein yang kemudian menjadi menteri pendidikan mesir al- Mustaqbal al-thaqafa dan pada akhir hidup beliau, beliau bertaubat dan menulis mar’atul Islam atau cerminan Islam yang menolak semua fahaman-fahaman barat beliau yang pernah ditulis sebelum itu.

Kelompok-kelompok sebegini yang akhirnya mempelopori gerakan liberal dalam agama. Dalam konteks kita pada hari ini istilah Islam Liberal amat sinonim dengan permasalahan umat kontemporari. Ini adalah merupakan salah satu daripada cabang ekstrimse yang ingin melonggarkan agama sepertimana yang digelar oleh al-Qardhawi sebagai tasahul fi Deen atas nama Islah dan Tajdid atau gerakan pembaharuan dalam konteks yang mereka terjemah sendiri dengan sewenang-wenangnya.

Dalam kelompok sebegini, pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya sehingga berpaling dari dalil dan nas Quran dan Sunnah yang sebenar. Gerakan dan fahaman songsang seperti anti hadith dan femenisme dalam Islam lahir. Mereka mengambil bulat-bulat idea dan konsep yang dibawa daripada barat. Kepercayaan yang mengatakan bahawa Islam mundur kerana agama dan ajarannya, membuatkan ramai dikalangan tokoh-tokoh yang lahir dari pegangan sudut pandang ini melonggarkan atau mengenepikan Al-Quran dan Sunnah. Malah antara intipati besar mereka adalah rekonstruksi atau menafsiran semula al-Quran dan Sunnah sebagaimana yang dicanang oleh orientalis barat.

Kelompok eksrim atau melampau yang kedua adalah kelompok yang mana sudut pandangnya amat kontra dan berbeda daripada yang pertama. Respon dan sikap mereka kepada barat adalah penolakkan mutlak (total rejection). Dalam konteks ini agak sukar untuk diperbincangkan. Ia adalah kerana perkara pokok yang menjadi fundamental dalam Islam adalah betul dalam erti kata kelompok begini juga berkehendakkan Islam atas nama perjuangan Islam.

Namun demikian yang menjadi perbahasan adalah sudut pandang dunianya ‘world view’ yang seringkali menjadi tegangan antara Dunia Islam dan Barat. Penolakkan mutlak kepada barat tanpa bersikap hikmah dan objektif, pintu ijtihad dan kepelbagaian pandangan ditutup serapat-rapatnya, kecenderungan untuk berbalah dalam soal-soal yang furu’ atau cabang dalam Islam malah al-Qardhawi dan Syeikh Ramadhan al-Buti sendiri mendakwa persoalan yang dibawa tidak memberikan kebaikkan kepada ummat tetapi hanya menyusahkan lagi. Yang lebih menarik kelompok ini mudah didekati oleh golongan muda kerana gerakannya bersifat emosi yang membakar.

Mungkin tidak sihat untuk saya menamakan tokoh-tokoh yang banyak mempelopori gerakan sebegini, tetapi satu penilaian semula harus ditimbang di dalam perjalanan kita berjuang dan berdakwah. Perjuangan dakwah ini adalah berperingkat sifatnya, yang mengambil kira aspek maslahah masa dan tempat. Perjuangan rasulullah saw sendiri mengambil masa 23 tahun.

Kecenderungan untuk kelompok sebegini kepada penjuzukkan atau pemisahan antara barat dan Islam atau lebih terkenal dengan tema ‘Dar Harb’, Dar Kufr’ yang cenderung untuk meletakkan sama ada hitam atau putih, Islam atau kafir.Penglebelan dan pemisahan sebegini hanya akan menambahkan lagi ketegangan antara dunia barat dan Islam. Fenonema Islamphobia akan terus menebal, fitnah kepada Islam akan terus menggunung.

Kita perlu sedar bahawa Islam kini di Barat menjadi ‘the fastest growing religion’ bukan sahaja dalam konteks kekeluargaan, Islam lebih ‘produktif’, malah di Britain sendiri lebih dari 10 orang sehari yang bertukar agama memeluk Islam. Gerakan Islam di barat lebih subur berbanding di dunia arab. Di dunia arab tokoh-tokoh Islam dan gerakan dakwah menghadapi penentangan yang keras daripada pemerintah. Di eropah pertubuhan dan gerakan Islam lebih bergerak bebas. Malah ramai tokoh-tokoh besar diberi perlindungan suhaka politik oleh pemerintah eropah termasuklah Jamaluddin al-Afghani dan Rachid Ghannoushi yang lebih kontemporari.

Sebab itulah Napolean sendiri menyatakan hasrat bahawa dia menantikan satu masa dimana seluruh eropah ini disatukan menjadi satu bangsa, dan yang akan menyatukannya adalah Islam. Napolean turut menambah bahawa dia sendiri meletakkan hasrat menunggu saat itu. Dalam konteks yang hampir sama, Muhammad Iqbal meletakkan bacaan yang tinggi bahawa Islam akan kembali bangkit dan ia berpusat di eropah.

Justeru, tindakkan untuk memisahkan Islam dan barat adalah merupakan satu kesilapan yang besar dalam sejarah Islam. Gerakan yang bersikap keras dan konfrantasi terhadap barat ini rata-rata dilihat memberikan coretan negetif di mata barat kepada Islam.

Kelompok yang terakhir dalam gerakan Islah dan Tajdid ini, melihat bagaimana untuk menghubung jalinkan dunia Islam dan barat dengan mengambil apa yang baik secara objektif serta melihat dunia barat sebagai sebahagian daripada mad’u yang turut perlu didekati. Malah mereka ini berurusan dan berhubung dengan barat mengikut pengalaman Islam dalam konteks masyarakat madani.

Islam sebagai atur cara hidup yang fleksibel dan universal (al-Alammiyyah) yang sentiasa melihat sesuatu yang baik akan sesuatu tanpa nafikan keburukan yang turut ada. Kelompok yang dilihat sebagai aliran tengah atau yang lebih tepat al-Wasotiyyah tetap berpegang teguh dengan paksi al-Quran dan Sunnah serta mengambil tradisi pengalaman lampau. Pengalaman tradisii turut diharmonikan dengan modeniti.

Barat yang perlu dilihat secara objectif dan mengambil apa yang baik. Melalui pendekatan inilah kita lahirkan gagasan idea Islamisasi, termasuklah Islamisasi Ilmu yang turut di pelopori oleh Ismail R.A Faruqi dan Syed Naquib al-Attas. Dalam konteks politik, al-Maududi menggagaskan sesuatu yang baik kepada demokrasi iaitu Teodemokrasi. Teodemekrasi yang berpanjikan kedaulatan kepada Allah swt dan Al-Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan sesebuah negara. Demokrasi itu sendiri bersifat Islami tetapi dua aspek ini kurang ditekankan, jesteru tindakan Maududi untuk Islamisasikan politik demoktrasi di lihat sebagai Islami yang mampu untuk menghubung jalinkan Dunia Islam dan barat.

Daripada ketiga-tiga ‘trend’ sudut pandang Islam kepada Barat ini yang turut membentuk kelompok-kelompok ummat Islam, saya serahkan kepada pembaca untuk menilai. Namun demikian, kita harus ingat bahawa Allah swt membenci orang-orang yang melampau, al-Wasotiyyah dan Hikmah adalah merupakan kunci utama dalam apa sahaja gerakan yang cuba dibawa. Bibit-bibit penyatuan perlu dicari, bibit-bibit perpecahan harus ditutupi. ‘Unity in Diversity’.

______________________________________
*Mohd Saifullah Mohd Zulkifli adalah merupakan Naib Presiden (Antarabangsa) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa. Beliau boleh dihubungi melalaui email
saifullahul_maslul@yahoo.co.uk

di pos oleh <$BlogItemAuthorNickname$> pada 7:07 AM, ,